Saingan Liga A1 Semipro 2025/26 meriah, menepati jangkaan peminat
Saingan Liga A1 Semipro musim 2025/26 anjuran Amateur Football League (AFL) kini memasuki minggu kedua dan suasananya semakin meriah.
Liga yang dahulunya hanya dilihat sebagai kiga amatur kini mula mendapat perhatian meluas daripada peminat bola sepak tempatan, yang sebelum ini majoritinya hanya menumpukan tumpuan kepada Liga Super.
Peningkatan minat ini jelas kelihatan melalui jumlah kehadiran penyokong di stadium, liputan media sosial yang semakin rancak, dan perbualan di kalangan peminat bola sepak di seluruh negara.
Liga A1 kini bukan sekadar medan mencungkil bakat, tetapi menjadi pentas kompetitif yang penuh kejutan, di mana setiap pasukan mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan dan mara jauh.
Salah satu faktor utama yang menjadikan musim ini lebih menarik adalah penyertaan beberapa pasukan berasaskan negeri seperti Kedah, Perlis, dan Perak yang kembali menghiasi kancah bola sepak tanah air melalui Liga A1.
Kedah menjadi tumpuan apabila tampil dengan dua pasukan berikutan Kedah Darul Aman FC, yang terpaksa beraksi di Liga A1 selepas tersingkir dari Liga Super akibat masalah kewangan, dan Kedah FA, pasukan baharu yang diwujudkan oleh kerajaan negeri melalui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Kehadiran dua wakil dari negeri jelapang padi ini dijangka menghangatkan lagi persaingan, malah bakal melahirkan ‘Derbi Kedah’ yang pastinya dinantikan penyokong.
Perlis pula mencuri perhatian dengan kemunculan semula menerusi pasukan Perlis GSA, menghidupkan kembali memori bola sepak negeri utara tanah air itu yang sekian lama menyepi daripada pentas liga domestik.
Kehadiran mereka di Liga A1 disambut hangat, khususnya oleh penyokong setia yang menantikan kembalinya Sang Singa Utara.
Detik paling mencuri tumpuan adalah perlawanan pembukaan yang menemukan semula derbi utara antara Perlis GSA dan Kedah FA di Stadium Kangar.
Aksi ini menyaksikan ribuan penyokong membanjiri stadium, mengembalikan suasana gempita yang sekian lama tidak dirasai di Perlis.
Perak juga kembali ke arena selepas penarikan diri Perak FC dari Liga Super berikutan masalah kewangan yang membelenggu pasukan itu.
Kali ini, nama Perak FA kembali digunakan untuk bersaing di Liga A1, memberi peluang baharu kepada pasukan bersejarah itu untuk membina semula reputasi mereka di peringkat nasional.
Keunikan Liga A1 terletak pada keterbukaan saingannya. Tidak seperti Liga Super yang dikuasai oleh beberapa kelab utama, Liga A1 menyajikan persaingan yang lebih seimbang.
Tiada pasukan yang dianggap terlalu kuat atau terlalu lemah, menjadikan setiap perlawanan sukar diramal.
Kedudukan carta liga boleh berubah secara drastik setiap minggu, dan ini menambah lagi elemen drama serta keterujaan dalam kalangan penyokong.
Ia juga memberikan peluang kepada kelab-kelab yang kurang terkenal untuk mencuri tumpuan dan mengukir sejarah tersendiri.
Sementara itu, selain menjadi medan persaingan yang sengit, Liga A1 turut berperanan sebagai platform penting dalam membangunkan bakat-bakat baharu.
Ini kerana ramai pemain muda yang beraksi di sini berpeluang menonjolkan kemampuan mereka, seterusnya membuka jalan untuk beraksi di Liga Super atau mewakili skuad kebangsaan.
Dengan suasana yang semakin rancak, sokongan penyokong yang kian meningkat, dan keterlibatan pasukan negeri yang bersejarah, Liga A1 Semipro musim ini jelas mempunyai potensi besar untuk menjadi liga yang dinanti-nantikan setiap tahun.
Jika momentum ini berterusan, Liga A1 mungkin tidak lagi sekadar menjadi divisyen dua, tetapi satu jenama yang berdiri teguh dalam landskap bola sepak Malaysia.