Ramadhan Sananta mahu kutip pengalaman berharga di Liga Malaysia
Pemain import Brunei DPMM, Ramadhan Sananta, mengakui Liga Malaysia memberi pengalaman berharga buat dirinya walaupun pasukannya tewas 0-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi.
Menurut Ramadhan, perlawanan menentang Selangor membuka matanya mengenai tahap kualiti dan intensiti bola sepak di Malaysia, selain menyedarkan beliau tentang aspek permainan yang perlu diperbaiki.
“Selangor adalah pasukan besar di Malaysia. Mereka memiliki ramai pemain berkualiti seperti Faisal Halim. Dari segi permainan, kami banyak melakukan kesilapan kecil yang sepatutnya dapat dielakkan, termasuk situasi bola-bola tinggi yang tidak diantisipasi dengan baik,”
katanya.
Sananta mengakui pasukannya gagal memanfaatkan peluang yang ada, dan kesibukan bertahan membolehkan Selangor menguasai perlawanan sehingga mencatat kemenangan selesa.
Dalam pada itu, Ramadhan mengakui Liga Malaysia menawarkan persaingan sengit dengan barisan pemain yang memiliki teknik dan intensiti permainan yang tinggi.
Justeru, beliau mahu memanfaatkan peluang beraksi di sini sebagai langkah penting dalam perjalanan kariernya.
“Saya masih muda dan mahu cuba sesuatu yang baharu. Liga Malaysia kompetitif dan berkualiti, jadi kenapa tidak saya mencuba? Jika saya berjaya di sini, mungkin ia membuka peluang untuk saya dipanggil menyertai skuad kebangsaan Indonesia pada masa akan datang.”
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai persaingan sihat antara pemain Indonesia dan Malaysia, Sananta menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengujakan kerana kedua-dua negara mempunyai sejarah perseteruan di pentas bola sepak.
Namun, beliau menegaskan fokus utamanya adalah memberi yang terbaik buat kelab yang diwakilinya.
“Indonesia dan Malaysia memang sering berentap di pelbagai kejohanan. Tapi sebagai pemain profesional, saya mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan saya sekarang.”