Roma tawar £20 juta dapatkan Jadon Sancho, United sedia lepaskan

101

Roma kini membuat langkah serius mendapatkan Jadon Sancho apabila kelab Serie A itu mengemukakan tawaran bernilai £20 juta kepada Manchester United. 

Dipetik dari BBC, pemain sayap England berusia 25 tahun itu masih diketepikan daripada skuad utama dan telah diminta mencari kelab baharu sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September.


Sancho menyertai United pada 2021 dengan harga £73 juta, namun kariernya di Old Trafford bergolak sejak musim lalu. 

Juventus turut berminat mendapatkan khidmatnya, dengan kelebihan beraksi di Liga Juara-Juara musim ini berbanding Roma.

Musim lalu, Sancho dipinjamkan ke Chelsea selepas kelab London itu membayar penalti £5 juta untuk membatalkan kewajipan membelinya. 

Roma juga dikhabarkan mempertimbangkan pinjaman dengan klausa pembelian, tetapi situasi menjadi rumit kerana kontrak Sancho akan tamat musim panas depan. 

Walaupun United mempunyai opsyen lanjutan setahun, gajinya yang tinggi menjadi persoalan utama.

United bertekad menjual Sancho, namun jika tiada persetujuan tercapai menjelang September, mereka mungkin mempertimbangkan pinjaman demi mengurangkan beban gaji. 

Sejak pramusim lalu, Sancho bersama tiga lagi pemain — Alejandro Garnacho, Antony dan Tyrrell Malacia — berlatih berasingan kerana dijangka meninggalkan kelab sebelum jendela perpindahan berakhir.