Kami akan beri yang terbaik demi Malaysia – Fairuz Montana

112

Pasukan bola sepak wanita Kelana United kini berada di fasa akhir persiapan menjelang cabaran terbesar mereka iaitu saingan kelayakan Asian Women Champions League (AWCL) 2025 yang akan bermula pada 25 Ogos di Stadium Hang Jebat, Melaka. 

Ketua jurulatih, Fairuz Montana menyatakan beliau berpuas hati dengan perkembangan skuadnya setakat ini.


“Syukur Alhamdulillah, persediaan kami semua berjalan dengan lancar. Semua pemain bekerja keras. Kebanyakan mereka adalah muka baharu, tapi saya yakin mereka akan beri yang terbaik untuk kejohanan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebagai wakil tunggal Malaysia, Kelana United akan menentang tiga kelab handal dari Asia iaitu Etihad Clubdari Jordan, Lion City Sailors dari Singapura, dan Sdyushor Si – Asia Goal dari Kyrgyzstan.

Dalam pada itu, bagi memperkukuh skuad, Fairuz berkata kelab bakal menerima kemasukan empat pemain import dari Indonesia pada 14 Ogos yang mana kehadiran pemain berpengalaman ini diharap dapat menambah dimensi baharu dalam taktikal pasukan.

Tambah Fairuz, selain latihan fizikal dan taktikal, aspek mental menjadi fokus utama. 

“Untuk bertanding di peringkat AFC, kita perlu pasukan yang mantap dari segi mental, taktikal, dan teknik. Saya juga tekankan keharmonian pasukan serta memastikan tiada ‘virus’ dalam skuad, kerana itu yang akan menentukan semangat juang di padang.”

Beliau turut mengakui kebanyakan pemain mungkin berdepan rasa gementar kerana pertama kali beraksi di pentas AFC, namun beliau yakin semangat juang akan mengatasi tekanan. 

“Selagi wisel penamat belum ditiup pengadil, kerja kita tidak akan berhenti. Insya-Allah, kami akan berusaha sehabis baik untuk mengharumkan nama Malaysia.”

Sementara itu, sebagai tuan rumah, Fairuz turut menyeru sokongan penuh daripada rakyat Malaysia.