Aysar tekad bawa Malaysia B-23 ke Piala Asia 2026
Pemain pasukan kebangsaan B-23, Ahmad Aysar Hadi bin Mohd Shapri menegaskan matlamat utamanya hanya satu iaitu memastikan skuad negara layak ke Piala Asia B-23 di Arab Saudi pada tahun hadapan.
“Itu sasaran kami semua. Ia jadi motivasi terbesar. Kami tahu ia bukan mudah, tapi kami akan buat habis baik untuk layak ke Saudi. Semua pemain tahu apa yang perlu dibuat,”
katanya.
Menurut Aysar, semangat tersebut menjadi pendorong untuk setiap pemain bekerja lebih keras sepanjang kem latihan, meskipun jadual persediaan sangat padat.
Skuad kendalian Nafuzi Zain akan berlepas ke Bangkok, Thailand Bangkok pada 18 Ogos bagi meneruskan latihan sehingga 31 Ogos sebelum memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 bermula 3 September.
Aysar mengakui cabaran di Bangkok nanti jauh lebih getir berbanding kejohanan Piala AFF B-23 di Jakarta baru-baru ini, di mana Malaysia gagal mencapai keputusan yang diharapkan.
“Semestinya lebih susah kerana setiap pasukan target untuk ke Saudi. Jadi, perlawanan kali ini akan jadi lebih kuat. Kami ambil iktibar daripada kekalahan di bumi Jakarta dan ia jadi motivasi untuk kami bangkit.”
Menurutnya, pengalaman pahit itu telah membuka mata seluruh pasukan untuk memperbaiki kelemahan yang ketara dalam permainan mereka.
“Banyak perkara yang perlu kami baiki – daripada aspek taktikal, transisi hingga fokus sepanjang 90 minit. Tapi semua itu sudah diambil maklum oleh jurulatih dan kami hanya ikut arahan coach.”
Dalam pada itu, Aysar juga tenang dan tidak terlalu memikirkan soal tekanan untuk dapatkan keputusan baik kerana baginya tekanan adalah lumrah dalam bola sepak.
“Tekanan tetap sama. Cuma, sebagai pemain kami kena letak full fokus dan keyakinan. Itu sahaja kunci untuk kami berikan yang terbaik.”
Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan F dijadualkan menentang Lubnan (3 September), Mongolia (6 September), dan Thailand (9 September).
“Saya rasa semua pasukan sudah ‘well-prepared’. Kami dah buat ‘study’ ke atas mereka, dan jelas setiap satu lawan adalah perlawanan sukar. Kami akan turun satu demi satu perlawanan dengan fokus penuh.”
Sementara itu, Aysar menegaskan bahawa beliau dan rakan sepasukan akan terus bekerja keras selagi wisel penamat belum ditiup dan beliau percaya dengan semangat juang tinggi mereka mampu dapat keputusan yang dimahukan.