Pertaruhan Amorim di posisi penjaga gol tidak menjadi
Ruben Amorim membuat keputusan berani apabila menurunkan Altay Bayindir selaku penjaga gol utama Manchester United dalam aksi pembukaan Premier League menentang Arsenal, Ahad lalu.
Dipetik dari BBC, langkah itu tidak membuahkan hasil apabila kesilapan awal Bayindir menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Arsenal di Old Trafford.
Andre Onana yang sudah kembali cergas diketepikan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depannya di kelab.
Walaupun Amorim mempertahankan barisan penjaga golnya, posisi nombor satu United terus menjadi perdebatan hangat.
Seorang pegawai kelab menjelaskan, fokus utama jendela perpindahan musim panas lalu adalah memperkukuh jentera serangan dengan perbelanjaan £200 juta.
Hasilnya, pemain baharu seperti Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo berjaya menunjukkan potensi besar, meskipun gagal membantu pasukan mencari gol penyamaan.
Namun, kesilapan Bayindir pada minit ke-13 membuka ruang kepada Riccardo Calafiori menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Situasi ini membuatkan suara-suara agar United membawa masuk penjaga gol baharu semakin lantang, dengan nama seperti Emiliano Martinez dan Gianluigi Donnarumma dikaitkan.
Bagi Amorim, tugas berat menanti untuk mengembalikan keyakinan penyokong, khususnya di benteng terakhir pasukan.