JDT No.2 ASEAN: Nilai pasaran cecah RM73 juta, Selangor FC di tangga kelapan
Kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan status mereka sebagai kuasa bola sepak Malaysia apabila berada di tangga kedua dalam senarai 10 kelab paling bernilai di ASEAN musim 2025/26, menurut data Transfermarkt yang dipetik dari ASEAN Football.
Skuad Harimau Selatan yang mendominasi Liga Malaysia lebih sedekad ini mencatat nilai pasaran sebanyak RM73.3 juta, hanya dipisahkan sedikit dengan juara Thailand, Buriram United yang kekal di tangga teratas dengan RM79.3 juta.
Kedudukan ini menyaksikan reputasi JDT bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di pentas serantau.
Malah, nilai pasaran kelab itu jauh meninggalkan pencabar terdekat dari Malaysia, Selangor FC, yang menghuni tangga ke-8 dengan nilai RM34.1 juta.
Selain JDT dan Selangor, senarai 10 teratas turut dibarisi kelab-kelab ternama Asia Tenggara seperti Thép Xanh Nam Dinh (Vietnam – RM47.9 juta), Lion City Sailors (Singapura – RM47.6 juta), BG Pathum United (Thailand – RM43.1 juta) dan Dewa United (Indonesia – RM28.5 juta).
Dengan nilai pasaran yang tinggi serta skuad penuh bintang, JDT kini berazam untuk menterjemahkan dominasi domestik mereka ke pentas Shopee Cup 2025/26, sekali gus membuktikan bahawa bola sepak Malaysia mampu bersaing dengan kelab terbaik ASEAN.