Mo Salah dinobat Pemain Terbaik PFA 2025, cipta sejarah tiga kali menang

119

Pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah, terus membuktikan statusnya sebagai antara bintang terbesar dunia apabila diumumkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) 2025. 

Dipetik dari BBC, kemenangan ini melakar sejarah apabila Salah menjadi pemain pertama yang meraih anugerah berprestij tersebut sebanyak tiga kali.


Selain itu, pemain tengah Aston Villa, Morgan Rogers, turut diberi penghormatan sebagai Pemain Muda Terbaik, manakala bekas pengurus England, Sir Gareth Southgate, menerima Anugerah Merit PFA 2025 atas jasa dan pencapaiannya dalam membangunkan skuad kebangsaan.

Salah, 33, memainkan peranan penting dalam kejayaan Liverpool menjuarai Premier League musim lalu. 

Beliau turut muncul penjaring terbanyak liga 2024/25 dengan 29 gol dan 18 bantuan jaringan. Kejayaan ini melengkapkan koleksi peribadinya selepas turut memenangi Anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahun Ini FWA.

“Sudah tentu saya mahu jadi pemain bola sepak dan membantu keluarga ketika membesar di Mesir. Tetapi bila anda dewasa, anda mula nampak gambaran lebih besar dan cita-cita itu semakin berkembang,” kata Salah.

Kemenangan ini sekali lagi menegaskan kedudukan Salah sebagai legenda moden bola sepak dunia.