FAM perbaharui kerjasama dengan 100PLUS, sasar RM15 juta penajaan tahunan

140

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan kerjasama strategik bersama jenama minuman isotonic terkemuka, 100PLUS, selepas kedua-dua pihak menandatangani pembaharuan kontrak penajaan di Wisma FAM, sebentar tadi.

Melalui perjanjian baharu ini, FAM bakal menerima jumlah tajaan bernilai RM1 juta setahun bagi tempoh dua tahun, sehingga akhir 2026. 


Pecahan tajaan melibatkan RM750,000 dalam bentuk barangan (in-kind) serta RM250,000 dalam bentuk tunai.

Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Hj. Mohd Hisamudin Yahaya berkata, kerjasama ini membuktikan komitmen berterusan 100PLUS dalam menyokong pembangunan bola sepak negara. 

Beliau turut mendedahkan bahawa FAM mensasarkan kutipan penajaan tahunan sekitar RM15 juta bagi menampung kos pengurusan serta persiapan pasukan kebangsaan.

“Kontrak bersama 100PLUS ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mencapai sasaran. Buat masa ini, jumlah penajaan keseluruhan masih sekitar RM7 hingga RM8 juta. Jadi, kami perlu terus bekerja keras untuk menutup jurang tersebut,”

katanya.

Sementara itu, Dato’ Raffiq Bin Md Ariff, Pengarah Urusan Fraser & Neave Holdings Bhd., menegaskan pihaknya akan terus komited menyokong FAM, malah tidak menolak kemungkinan menambah nilai tajaan pada masa hadapan.

Dengan kesinambungan kerjasama ini, FAM optimis dapat mencapai sasaran kewangan yang ditetapkan, sekali gus memastikan pembangunan bola sepak negara berada di landasan tepat.