Isak, Newcastle United ‘bergaduh’ di media sosial
Drama perpindahan Alexander Isak semakin panas apabila penyerang Newcastle United itu memuat naik kenyataan terbuka di media sosial miliknya.
Dalam kenyataan penuh emosi, Isak menuduh kelab telah mengingkari janji dan menegaskan bahawa kepercayaan antara dirinya dan pihak pengurusan sudah hilang.
Beliau menulis, “apabila janji tidak ditepati, hubungan itu tidak lagi boleh diteruskan”. Beliau juga menjelaskan bahawa situasi ini menjadi punca dirinya tidak menghadiri majlis PFA Team of the Year, meskipun namanya tersenarai sebagai salah seorang pemain terbaik musim lalu.
Tidak lama selepas hantaran Isak tular, Newcastle United tampil memberi respons rasmi melalui laman sesawang dan media sosial mereka.
Kelab menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka pernah berjanji untuk membenarkan Isak berpindah pada musim panas ini.
Newcastle menegaskan penyerang Sweden itu masih terikat kontrak dan sebarang pemergian hanya boleh berlaku sekiranya syarat perpindahan dipenuhi.
Walaupun kecewa dengan kenyataan Isak, pengurusan The Magpies menekankan bahawa mereka tetap menganggap beliau sebahagian daripada keluarga kelab dan dialu-alukan kembali ke pasukan apabila bersedia.
Pertembungan kenyataan ini jelas menunjukkan hubungan antara Isak dan Newcastle kini berada di tahap yang paling tegang.
Liverpool dilaporkan telah mengemukakan tawaran sekitar £110 juta namun ditolak, kerana Newcastle United percaya nilai Isak lebih tinggi.
Situasi ini dijangka akan terus menjadi perhatian menjelang penutupan jendela perpindahan pada 1 September nanti.
Persoalannya kini, adakah Isak akan kekal dengan kontrak yang ada, atau berjaya memaksa jalan keluar ke Anfield?