Brentford tolak bidaan £40 juta Newcastle untuk Yoane Wissa
Brentford sekali lagi menolak bidaan terbaharu Newcastle United bernilai £40 juta (RM244 juta) bagi mendapatkan penyerang prolifik mereka, Yoane Wissa.
Dipetik dari BBC, tawaran itu merangkumi bayaran awal £35 juta dengan tambahan £5 juta insentif, namun masih dianggap tidak menepati penilaian kelab dari London Barat tersebut.
Wissa, 28, dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan pemilik Brentford, Matthew Benham, bagi membincangkan masa depannya.
Penyerang antarabangsa DR Congo itu secara terbuka mahu berhijrah ke St James’ Park selepas menjaringkan 19 gol dalam saingan Premier League musim lalu.
Kontroversi semakin memuncak apabila Wissa bertindak memadam segala kaitan dengan Brentford di media sosial dan sebelum ini pernah meninggalkan kem pra-musim di Portugal, sambil memberi amaran enggan beraksi lagi sekiranya perpindahannya tidak diluluskan.
Bagaimanapun, Wissa kembali menjalani latihan bersama skuad utama, walaupun tetap menegaskan keinginannya menyertai Newcastle.
Beliau menjangka peluang itu semakin hampir selepas Brentford menandatangani Dango Ouattara dari Bournemouth, meskipun kelab itu juga baru kehilangan Bryan Mbeumo kepada Manchester United.