JDT terus cemerlang, Svay Rieng benam Shan United dalam aksi pembukaan ACC
Kempen ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup™ 2025/26 membuka tirai dengan penuh warna apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan PKR Svay Rieng FC dari Kemboja mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Khamis lalu.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, JDT yang tampil sebagai pendatang baharu kejohanan tidak menunggu lama untuk membuktikan kredibiliti.
Pemain warisan baharu Malaysia kelahiran Brazil, João Figueiredo, menjadi wira pasukan dengan dua jaringan awal termasuk satu sepakan penalti telah meletakkan Harimau Selatan selesa mendahului.
Arif Aiman kemudian menambah gol ketiga pada masa kecederaan, sebelum Shawal Anuar meraih gol saguhati untuk Lion City Sailors.
Sementara itu, di Yangon, Svay Rieng memanfaatkan kelebihan selepas Shan United kehilangan pemain Jepun, Ryuji Hirota, akibat layangan kad merah seawal minit ke-18.
Gol-gol daripada Min Ratanak, Patrick dan Kwame Peprah memastikan kemenangan bergaya 3-0 buat wakil Kemboja itu.
Dengan keputusan ini, JDT dan Svay Rieng kini berkongsi kedudukan teratas Kumpulan B, sekali gus menambah debaran saingan ACC yang dijangka terus sengit hingga ke penghujung.