Frimpong direhatkan hingga selepas rehat antarabangsa
Liverpool menerima tamparan awal musim apabila bek kanan baharu, Jeremie Frimpong disahkan tidak dapat beraksi sehingga selepas rehat antarabangsa berikutan kecederaan hamstring.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 24 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris minggu lalu ketika The Reds menewaskan Bournemouth 4-2.
Situasi tersebut menyebabkan beliau bakal terlepas pertemuan penting menentang Newcastle United dan Arsenal.
Ketua jurulatih, Arne Slot menjelaskan keputusan mengeluarkan Frimpong dibuat atas nasihat pasukan perubatan yang mengesan masalah pada otot hamstringnya. “Ia tiada kaitan dengan prestasi. Kami rasa itu langkah tepat, dan jangka dia kembali selepas rehat antarabangsa,” katanya.
Kehilangan Frimpong merumitkan persediaan Slot di posisi bek kanan selepas pemergian Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid.
Conor Bradley baru kembali ke latihan, sementara Joe Gomez masih bergelut dengan kecergasan penuh.
Slot bagaimanapun optimis kerana masih mempunyai pilihan lain seperti Wataru Endo dan Dominik Szoboszlai untuk mengisi kekosongan posisi tersebut sehingga Frimpong kembali pulih.