Ini perlawanan paling buruk dalam hidup saya – Katsuhito Kinoshi
Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, melabelkan kekalahan 2-1 menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super sebagai perlawanan paling buruk dalam hidupnya.
Apa yang membuatkan kekalahan itu lebih pedih untuk diterima adalah pasukannya mendahului lebih awal sebelum gagal menambah jaringan dan akhirnya dihukum dengan kebangkitan tuan rumah.
Kinoshi meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan barisan pemainnya memanfaatkan peluang yang terhidang.
“Kami dihukum. Selepas gol pertama, kami ada banyak peluang untuk menambah jaringan. Semua orang fikir gol kedua akan hadir, tetapi ia tidak pernah datang.
Kesilapan seperti ini memberi keyakinan kepada pihak lawan, sementara kami pula hilang keyakinan,”
katanya.
Tambah Kinoshi lagi, beliau mengakui kelemahan pasukan jelas ketara di bahagian serangan dan pertahanan.
“Kami gagal menyudahkan percubaan pada babak pertama. Kalau bermain begitu, mustahil untuk menang. Walaupun kami berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dan terus menyerang, kelekaan di barisan pertahanan menyebabkan lawan lebih kuat daripada kami. Hakikatnya, kami tidak menjaringkan gol kedua yang sangat penting.”
Beliau bagaimanapun enggan menyalahkan pemain secara individu. Sebaliknya, beliau menegaskan semua kritikan harus ditujukan kepadanya.
“Kami satu pasukan. Jangan salahkan pemain. Kalau ada yang mahu salahkan seseorang, katakan ia salah jurulatih. Saya akan terima semua kritikan penyokong.”
Sementara itu, Kinoshi mahu Selangor perlu segera bangkit kerana jadual padat menanti.
“Kami hanya ada empat hari sebelum bertemu Terengganu FC, kemudian lapan hari untuk tiga perlawanan. Baru pulang dari Buriram, tapi itu bukan alasan. Kalau mahu jadi pasukan hebat, kami mesti tempuh situasi sebegini.”
Kinoshi mahu pemain menunjukkan wajah berbeza di perlawanan seterusnya untuk mengembalikan keyakinan penyokong.
“Kami mesti lebih kuat, lebih bersatu, dan bekerja keras. Itu sahaja cara untuk menjadi Selangor FC sebenar.”