UXR Showdown sasar jadi fenomena baharu sukan tempur di Pahang
Kuantan bakal menjadi saksi sejarah apabila UXR Showdown atau Ultimate Axe Rumble dilangsungkan pada 27 September ini, satu acara sukan tempur yang dijangka menggegarkan Pantai Timur dengan kehadiran jaguh-jaguh tempatan dan antarabangsa.
Menurut CEO UXR Showdown, Ahmad Sabri Jaafar (SJ), idea penganjuran acara ini tercetus secara tidak formal ketika sambutan Hari Raya Haji bersama sahabatnya.
Namun, daripada perbualan santai itu, lahir sebuah visi besar untuk menggabungkan elemen sukan tempur dan pelancongan sukan (sports tourism).
“Konsep ini bukan sekadar persembahan tempur, tetapi juga mengangkat Pahang sebagai destinasi pelancongan sukan. Malah, kita menyasarkan pengunjung dari Terengganu, Kelantan serta luar negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ahmad Sabri juga berkata bahawa acara itu juga akan turut menampilkan bintang ternama seperti Jordan Boy, Kabilan dan Izzat Zaki.
Jelasnya, perkara tersebut dapat direalisasikan hasil usaha penganjur yang turun padang sendiri ke Bangkok dan Indonesia untuk merekrut barisan fighter terbaik.
Dalam pada itu, Ahmad Sabri turut mendedahkan UXR Showdown telah berjaya menarik minat jenama minuman terkemuka dunia Monster Energy yang akan tampil sebagai penaja bersama.
“Kami baru sahaja menerima pengesahan bahawa Monster Energy akan tampil sebagai penaja bersama atau strategic partner bagi UXR Showdown. Kehadiran jenama besar ini pastinya memberikan nilai tambah dari segi prestij dan pendedahan acara.
InsyaAllah, dengan sokongan ini, kami berharap UXR Showdown akan menjadi satu fenomena baharu serta meninggalkan kesan luar biasa kepada semua yang hadir.”
Sementara itu, tiket rasmi kini boleh didapati di tiket2u.com, manakala siaran pay-per-view (PPV) turut dibuka bagi penonton antarabangsa.
“Ini adalah percubaan pertama kami, dan saya yakin ia akan menjadi fenomena luar biasa. Jadi, saya menyeru semua peminat sukan tempur untuk hadir ke Kuantan dan menyokong acara ini. Kita mahu buktikan bahawa ‘local scene’ mampu pergi lebih jauh.”