Malaysia’s Silent Warrior: Aiman Abu Bakar terus harumkan nama Negara
Nama Aiman Abu Bakar mungkin belum sepopular atlet tempatan lain, tetapi pencapaiannya di gelanggang tinju wajar diberi perhatian.
Dikenali sebagai antara petinju Malaysia yang underrated, Aiman banyak menimba pengalaman di Filipina, bumi lagenda tinju dunia, Manny Pacquiao.
Baru-baru ini Aiman sekali lagi membuktikan kelasnya apabila menewaskan petinju dari Tanzania, Kasimu Hamad Haji, melalui kemenangan TKO di pusingan ke-4, sekali gus menambah satu lagi tali pinggang kejuaraan World Boxing Championship (WBC) dalam koleksinya.
Sebelum ini, Aiman berhasrat mempertahankan gelaran WBC di tanah air sendiri melalui acara “Homecoming Fight”.
Malah, beliau sudah pulang ke Malaysia sejak Mei lalu untuk membuat persiapan, namun hasrat itu terkubur selepas kekurangan sokongan, khususnya dari segi penajaan sekaligus memaksa perlawanan tersebut ditunda berulang kali sebelum akhirnya dibatalkan.
Tidak mahu gelarannya tergadai, Aiman mengambil keputusan pulang ke Filipina untuk memastikan pertarungan tetap berlangsung.
Keputusan itu ternyata tepat apabila beliau berjaya mengekalkan reputasi sebagai juara.
Kejayaan ini bukanlah yang pertama buatnya kerana tahun lalu beliau menewaskan petinju ranking ke-8 Asia untuk muncul WBC Asia Silver Super Featherweight Champion, selepas pernah beraksi dalam undercard Manny Pacquiao.
Kini, perjalanan Aiman diteruskan dengan pertarungan seterusnya dijadualkan pada bulan November, satu lagi pertarungan kejuaraan besar menantinya.
Inilah peluang untuk Malaysia kembali bersatu memberi sokongan. Penaja yang berminat, inilah masanya untuk tampil ke depan dan bersama mengangkat wira kita ini.
Aiman adalah permata negara yang jarang diberi perhatian tapi dalam diam, beliau terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Tahniah Aiman – Malaysia bangga denganmu!