Badrul Afzan akui hilang fokus punca Terengganu FC tumpas di MBPJ
Ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan mengakui kelemahan komunikasi dan hilang fokus menjadi faktor utama kekalahan 5-2 skuad kendaliannya kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ.
Menurut Badrul, meskipun pasukan bermula baik dalam 10 minit pertama dan sempat menjaringkan gol yang kemudiannya dibatalkan tapi kesilapan demi kesilapan mudah akhirnya membuka ruang besar buat tuan rumah untuk menguasai perlawanan.
“Kita bermain dengan baik pada 10 minit pertama selepas menjaringkan gol, tapi tidak dikira. Lepas itu, pemain terlalu banyak buat kesilapan mudah, terutama komunikasi. Kami hilang fokus, terlalu banyak ‘menonton bola’, dan itulah yang menyebabkan Selangor dapat empat gol mudah,”
katanya.
Badrul berkata pada babak kedua, anak buahnya cuba menyaingi Selangor dan berjaya meledak dua gol, namun gagal memanfaatkan peluang lain untuk merapatkan jurang.
“Kita ada peluang, tetapi gagal menjaringkan gol pada malam ini. Yang jelas, kesilapan kami sendiri terlalu mudah dan memberi ruang besar kepada lawan.”
Dalam pada itu, Badrul juga mengakui kecederaan yang menimpa dua tonggak import iaitu penyerang, Yann Kevin Mabella terpaksa dikeluarkan selepas mengalami masalah hamstring, manakala pertahanan Diego Luiz Landis juga ditarik keluar lebih awal akibat kecederaan.
“Mabella rasa hamstring, jadi saya tidak mahu ambil risiko. Diego Luiz pun alami kecederaan, jadi saya terpaksa keluarkan mereka.”
Susulan kekalahan tersebut, Badrul memberi bayangan akan melakukan rombakan pasukan, terutama selepas cuti selama 14 hari bersempena kalendar antarabangsa.
“Sudah tentu, kalau kita tengok game malam ini, banyak kesilapan terlalu mudah. Jadi kita akan tengok semula, buat rombakan, dan harap pemain dapat pulih daripada kecederaan sebelum aksi seterusnya.”
Dengan kekalahan ini, skuad Sang Penyu perlu segera mencari formula terbaik untuk bangkit jika mahu kekal bersaing dalam kelompok teratas Liga Super musim ini.