FAM hormati keputusan Joehari, fokus “Move On” demi masa depan bola sepak negara
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung isu peletakan jawatan Datuk Joehari sebagai Presiden FAM, sekali gus menolak spekulasi liar yang mendakwa badan induk bola sepak negara itu berdiam diri tanpa penjelasan.
Menurut Yusoff Mahad, keputusan Joehari adalah keputusan peribadi sepenuhnya dan telah diterima secara rasmi dalam Mesyuarat Exco FAM.
Malah, mesyuarat tersebut sebulat suara bersetuju menghormati tindakan Joehari untuk berundur daripada jawatan tertinggi itu.
“Ini bukan soal takut atau tidak untuk bersuara. Kita hanya mahu mengelakkan isu ini digembar-gemburkan secara berlebihan. Yang penting, FAM mengikut statut – kita terima peletakan jawatan Presiden dan dibawa dalam mesyuarat Exco. Segala proses berjalan seperti biasa,”
jelasnya.
Yusoff Mahadi pada masa sama menegaskan, tiada campur tangan luar dalam keputusan Joehari dan menganggap isu ini tidak wajar diperbesarkan.
“Ini keputusan peribadi beliau, kita hormati. Tak ada apa yang luar biasa pun. FAM akan terus bergerak seperti biasa, fokus pada kerja-kerja yang sudah dirancang demi pembangunan bola sepak Malaysia.”
Mengikut statut FAM, jawatan Presiden kini akan dipangku oleh Yusoff Mahadi sehingga berlangsungnya Kongres FAM akan datang pada tahun depan.
Pemilihan Presiden hanya akan dilakukan pada kongres tersebut, dengan keputusan muktamad berada di tangan ahli gabungan (affiliate).
“Prosesnya jelas. Presiden baharu hanya akan dipilih ketika Kongres. Sehingga itu, pemangku Presiden akan teruskan mandat untuk memastikan FAM berjalan lancar mengikut agenda yang sudah disusun.”
Dalam pada itu, muncul beberapa spekulasi mengenai individu yang dikaitkan dengan jawatan Presiden FAM, termasuk nama bekas penyerang kebangsaan Safee Sali dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Namun, beliau menegaskan bahawa semua nama yang disebut hanyalah spekulasi awal, kerana hak menentukan calon terletak sepenuhnya kepada ahli gabungan.
“Akan ada banyak lagi nama disebut apabila semakin hampir dengan Kongres. Tapi akhirnya keputusan tetap di tangan affiliate. Jadi kita anggap semua itu spekulasi semata-mata.”
Sementara itu, Yusoff Mahadi menekankan keutamaan FAM kini adalah untuk “move on” dan memberi fokus kepada agenda pembangunan bola sepak negara, berbanding terus terperangkap dengan spekulasi mengenai isu peletakan jawatan.
“Yang penting kita fikir ke depan. Apa yang perlu kita lakukan demi masa depan bola sepak Malaysia. Banyak perkara yang sudah dirancang dan perlu dilaksanakan. Itu yang kita mahu beri tumpuan.”