Richard Chin bawa mobiliti & kepantasan baharu buat Harimau Malaya – Peter Cklamovski

520

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengumumkan senarai 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula 1 September 2025 sebagai persiapan menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang Singapura pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Palestin pada 8 September di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Sidang media pengumuman skuad kali ini mencuri tumpuan apabila pemain kelahiran Malaysia yang beraksi di Scotland, Richard Chin, buat pertama kali dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.


Menurut Cklamovski, Richard yang kini beraksi di divisyen dua Scotland, dilihat sebagai satu suntikan baharu kepada skuad negara dengan berkatan intensiti dan kualiti teknikal yang dimiliki pemain muda itu cukup meyakinkan untuk diberikan peluang.

“Richard mempunyai mobiliti yang baik, teknik yang kemas ketika mengawal bola, serta kelajuan yang boleh menambah variasi dalam corak permainan kita. Namun, apa yang lebih penting ialah bagaimana dia membuktikan dirinya dalam persekitaran skuad kebangsaan sepanjang kem ini,”

katanya.

Cklamovski juga menegaskan bahawa pemilihan Richard bukan kerana mahu bergantung kepada seorang individu, sebaliknya sebagai usaha memperluaskan pilihan pemain, sekali gus menguji keserasian pemain baharu bersama skuad.

Beliau pada masa sama turut memberitahu bahawa ketiadaan beberapa nama besar pada skuad kali ini seperti Kalamullah Al-Hafiz, Nacho Mendez dan Imanol Machuca atas faktor berbeza.

Jelasnya, Kalamullah tidak dipanggil bagi memberi peluang kepada penjaga gol baharu sebagai usaha membina lebih banyak pilihan di posisi penting itu.

Manakala Mendes pula diketepikan atas faktor perubatan dan keletihan fizikal, namun Cklamovski menjangkakan dia kembali dalam skuad Oktober dan Machuca terpaksa kekal bersama kelabnya, Vélez, kerana bakal beraksi di final piala domestik pada 6 September.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai dua aksi persahabatan iaitu menentang Singapura dan Palestin nanti, Cklamovski melihat kedua-dua perlawanan itu sebagai ujian penting buat skuad negara.

“Kami mahu menggunakan kedua-dua perlawanan ini untuk memperkukuh identiti permainan kami, membina mentaliti pasukan, dan pada masa sama mencatat kemenangan membanggakan untuk negara.”

Kem kali ini turut dianggap sebagai simulasi bagi aksi penting Oktober depan, di mana Malaysia akan berdepan Laos dalam kempen kelayakan dengan enam mata menjadi sasaran wajib.

Sementara itu, Cklamovski berkata selepas mencatat keputusan positif dalam tiga aksi terdahulu iaitu seri menentang Nepal, tewas tipis kepada Cape Verde, dan menang bergaya ke atas Vietnam, Harimau Malaya kini berdepan cabaran lebih besar untuk mengekalkan momentum.

“Kami tidak boleh terlalu selesa. Latihan kali ini berlandaskan mentaliti untuk terus jadi lebih baik, di dalam dan luar padang. Apa yang penting, kita mahu meninggalkan jejak dalam bola sepak negara, satu langkah demi satu langkah.”