Terengganu FC fokus komersil demi kewangan mapan

181

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) kini bergerak ke arah lebih profesional dengan memberi tumpuan kepada aspek komersil dan kelestarian kewangan, sekali gus memastikan kelab mampu bersaing bukan sahaja di dalam padang, malah juga di luar padang.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, menegaskan bahawa era baharu ini menuntut kelab bola sepak diuruskan secara mandiri dengan strategi penajaan dan peluang perniagaan yang lebih luas. 


“Walaupun objektif utama kami ialah keputusan di atas padang, TFC juga perlu membina asas kewangan yang kukuh supaya kelab terus berdaya saing dalam jangka panjang,” katanya.

Sejak menerajui kelab pada Ogos lalu, Sheikh Farouk telah berjaya membawa masuk dua rakan perniagaan baharu. 

Terbaharu, TFC mengumumkan kerjasama bersama Bubbles O2 Sdn Bhd, syarikat pengeluar air mineral semula jadi beroksigen tinggi pertama di Malaysia.

Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan jenama TFC, malah memberi nilai tambah kepada penaja melalui pelbagai aktiviti bersama penyokong. 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman itu turut dihadiri YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TFCSB.

Bubbles O2 yang ditubuhkan pada 2018 kini berkembang pesat dan menjadikan penajaan serta penglibatan dalam acara sukan sebagai strategi utama. 

Selain TFC, syarikat ini juga menjadi rakan rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), program Road to Gold (RTG) dan National Baseball League (NBL).

Dengan usaha ini, TFC yakin mampu memperkukuh imej sebagai sebuah kelab profesional, mampan serta disokong kuat oleh komuniti dan rakan strategik.