Rakhpol yakin skuad futsal negara mampu cipta kejutan di kelayakan Piala Asia

47

Ketua Jurulatih futsal kebangsaan, Rakhpol Sainetngam, menegaskan keyakinannya terhadap skuad Harimau Malaya menjelang kelayakan Piala Asia Futsal 2026 yang akan berlangsung di Stadium SUKPA, Kuantan, Pahang.

Menurut Rakhpol, persiapan pasukan berjalan lancar dengan latihan bermula di FAM sebelum skuad berlepas ke Thailand pada 8 September bagi mengadakan kem latihan serta dua aksi persahabatan iaitu menentang pasukan kebangsaan Thailand dan kelab Chonburi Blue Whale.


“Iran memang pasukan bertaraf dunia, tetapi fokus utama kami adalah aksi pertama menentang UAE. Jika kita berjaya menewaskan UAE, peluang ke pusingan akhir semakin cerah,”

katanya.

Rakhpol turut menyatakan pemilihan Stadium SUKPA sebagai venue tuan rumah bakal memberi kelebihan besar kerana sokongan padu penyokong tempatan diharap menjadi pembakar semangat pemain.

Dalam pada itu, menyentuh soal senarai pemain, beliau mengakui terdapat beberapa nama berpengalaman seperti Abu Hanifa yang tidak dipanggil kali ini kerana mahu memberi ruang kepada pemain muda. 

Beliau bagaimanapun berkata Abu masih berpeluang kembali jika diperlukan.

Pada masa sama kepulangan Syahir Iqbal selepas dua tahun dibelenggu kecederaan dianggap penting bagi menstabilkan kembali pasukan.

“Iqbal antara pemain terbaik Malaysia, walaupun masih perlukan masa untuk kembali ke tahap asal. Kita perlu beri peluang kepadanya.”

Sementara itu, skuad negara juga dijadual menentang Bangladesh selain Iran dan UAE dalam saingan kumpulan. 

Bagi Rakhpol, tiada lawan boleh dipandang mudah dan sasaran utama adalah mara ke pusingan akhir.