Liverpool sah ikat Alexander Isak dengan rekod perpindahan Britain

129

Liverpool akhirnya berjaya mendapatkan khidmat penyerang Newcastle United, Alexander Isak dengan rekod perpindahan bola sepak Britain bernilai £125 juta. 

Dipetik dari BBC, jumlah itu berpotensi meningkat sehingga £130 juta bergantung kepada klausa tambahan.


Pemain antarabangsa Sweden berusia 25 tahun itu telah menjalani pemeriksaan perubatan pada Isnin sebelum menandatangani kontrak selama enam tahun. 

Perpindahan ini sekali gus menjadikan perbelanjaan musim panas Liverpool mencecah kira-kira £416.2 juta, tidak termasuk bayaran tambahan.

Isak, yang bakal menyarung jersi nombor sembilan The Reds, meluahkan keterujaannya untuk beraksi di Anfield. “Ini langkah penting dalam karier saya. Saya mahu mencipta sejarah, memenangi trofi, dan membantu pasukan mencapai kejayaan. Tempat ini sempurna untuk saya berkembang ke tahap seterusnya,” katanya.

Sebelum ini, tawaran awal bernilai £110 juta pada Ogos ditolak Newcastle, namun Liverpool tetap konsisten memburu sasaran utama mereka. 

Pengumuman rasmi dibuat pada jam 21:30 BST pada hari terakhir jendela perpindahan, dua jam setengah selepas jendela ditutup.

Sementara itu, Newcastle telah menandatangani Nick Woltemade dari Stuttgart serta Yoane Wissa dari Brentford bernilai £50 juta. 

Dalam masa sama, Liverpool gagal melengkapkan perpindahan Marc Guehi dari Crystal Palace apabila kelab itu tidak menemui pengganti sesuai.