Faisal Halim dalam kondisi terbaik, Harimau Malaya fokus hadapi Singapura – Peter Cklamovski

110

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan bahawa bintang sensasi Faisal Halim berada dalam kondisi terbaik dan bersedia untuk diturunkan selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kem latihan.

“Dari sudut bola sepak, Micky berada dalam keadaan yang sangat baik. Dia berlatih dengan keras, penuh disiplin, dan sikapnya di dalam serta di luar padang memberi inspirasi kepada seluruh pasukan,”

katanya.

Menurut Cklamovski, walaupun Faisal berdepan isu peribadi, ia tidak langsung menjejaskan fokusnya di padang.


“Bahagian peribadi adalah urusan dia dan keluarganya. Kami semua memberi sokongan penuh. Dari perspektif bola sepak, tiada sebarang kesan negatif. Malah, dia dalam bentuk terbaik dan sedia memberi sesuatu untuk negara.”

Skuad negara bakal turun beraksi dalam perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan biarpun tempoh kem latihan singkat dek jadual pada liga, Cklamovski percaya intensiti latihan dan pendekatan taktikal yang diterapkan sudah cukup untuk mempersiapkan pasukan.

“Ya, kita tidak mempunyai banyak masa. Tetapi setiap sesi digunakan sebaik mungkin. Kami bukan sahaja menekankan aspek fizikal, tetapi juga kefahaman taktikal, organisasi pasukan, dan mentaliti berpasukan. Saya percaya pemain dapat menyerap apa yang diperlukan untuk perlawanan ini.”

Dalam pada itu, Cklamovski berkata perlawanan menentang Singapura penting bukan sahaja untuk mencatat keputusan positif, tetapi juga untuk membina identiti permainan Harimau Malaya.

“Kami mahu rakyat Malaysia berbangga dengan cara kami bermain. Ia bukan sekadar tentang keputusan, tetapi bagaimana kami mendekati perlawanan dengan penuh komitmen, semangat, dan keberanian.”

Tambahnya lagi, perlawanan menentang Singapura akan menjadi medan ujian sebelum berdepan Palestin, pasukan yang kini berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

“Ini peluang terbaik untuk mengukur tahap kita, membina momentum, dan bersedia menghadapi cabaran lebih besar.”

Skuad kali ini turut disertai muka baharu yang menarik perhatian, antaranya Richard Chin, pemain kacukan yang beraksi di luar negara dengan Cklamovski berkata kehadirannya menambah variasi dalam pilihan taktikal, sekali gus memberi saingan sihat kepada barisan pemain sedia ada.

Cklamovski juga berkata ketiadaan tonggak tengah, Hector Havel akibat kecederaan membuka peluang untuk pemain lain tampil menyerlah.

“Setiap cabaran membuka ruang kepada pemain lain membuktikan kemampuan. Itulah sifat bola sepak moden, kita perlu sentiasa bersedia dengan pelan alternatif.”

Sementara itu, Cklamovski juga menyeru agar penyokong terus memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi, kerana sorakan dan kehadiran mereka mampu menjadi faktor tambahan untuk melonjakkan semangat pemain.

“Kami tahu betapa pentingnya penyokong kepada pasukan ini. Atmosfera di Bukit Jalil sentiasa menjadi pembakar semangat. Kami berjanji akan turun dengan semangat juang tinggi, bermain dengan penuh keberanian, dan memberikan segala-galanya untuk negara.”