Safuwan Baharudin anggap derbi Malaysia–Singapura lebih daripada sekadar perlawanan persahabatan

155

Pertahanan berpengalaman Singapura, Safuwan Baharudin mengakui aksi persahabatan Tier 1 menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis bukan sekadar perlawanan biasa, sebaliknya sarat dengan makna sebuah derbi serantau.

Menurut Safuwan, sudah agak lama Malaysia dan Singapura tidak berdepan dalam perlawanan antarabangsa persahabatan, kerana kebiasaannya kedua-dua negara hanya bertemu dalam kejohanan rasmi.


“Perlawanan kali ini memang berbeza. Saya fikir matlamat utama kedua-dua pasukan adalah untuk membuat persediaan ke arah tempoh Oktober nanti. Jadi, perlawanan ini menjadi medan ujian mencari penyelesaian terbaik untuk pasukan,”

katanya.

Safuwan yang cukup arif dengan bola sepak Malaysia turut menyentuh perubahan skuad Harimau Malaya berbanding pertemuan terakhir Disember lalu.

“Bezanya kali ini, mereka ada lebih ramai pemain warisan. Tetapi terasnya masih sama — pemain tempatan yang kita kenal sejak beberapa tahun ini. Arah tuju mereka jelas, mahu jadi pasukan bola sepak lebih baik di Asia Tenggara dan Asia.”

Bagi Singapura pula, Safuwan menjelaskan skuadnya juga sedang melalui proses penilaian dengan kehadiran kelompok pemain berbeza setiap jendela perlawanan.

“Pendekatannya sama seperti Malaysia, cuba mencari kombinasi terbaik setiap kali. Perlawanan esok adalah ujian penting untuk kami semua.”

Dalam pada itu, mengulas mengenai intensiti perlawanan derbi, Safuwan menegaskan faktor semangat dan maruah negara sering menjadi kunci.

“Setiap derbi tetap sebuah derbi. Kadang-kadang taktikal dan kekuatan bukan penentu. Siapa yang lebih bersemangat dan benar-benar mahukan kemenangan, dialah yang akan menang. Itu sudah terbukti dalam edisi terdahulu.”

Baginya, biarpun Malaysia akan turun dengan sokongan ribuan penyokong tuan rumah, Singapura tetap berpegang pada matlamat asal iaitu menguji pasukan dan mencari ramuan terbaik menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober depan.

Sementara itu, Safuwan turut melihat perlawanan ini sebagai pentas penting bagi pemain muda Singapura merasai pengalaman derbi klasik Asia Tenggara.