NEXTGEN FOOTBALL CHALLENGE 2025 – ELGINI MALAYSIA CUP bawa nafas baharu bola sepak akar umbi

347

Teluk Intan bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak akar umbi apabila kejohanan NEXTGEN FOOTBALL CHALLENGE 2025 – ELGINI MALAYSIA CUP (NFC 2025) dianjurkan oleh Anson Kidz FC dengan kerjasama penaja utama, Elgini Sdn Bhd, sebuah syarikat tekstil terkemuka negara.

Majlis menandatangani Perjanjian Penajaan telah berlangsung di Ibu Pejabat Elgini Sdn Bhd di Nibong Tebal, Pulau Pinang, menandakan komitmen padu syarikat itu dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi.


Sebanyak 80 pasukan dengan penyertaan hampir 900 pemain muda berusia 7 hingga 12 tahun dari seluruh negara telah mendaftar bagi kejohanan berprestij ini yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025 (Sabtu) di Teluk Intan.

Pengarah Elgini, Tuan Lim Chong Soo, menekankan bahawa sumbangan kepada komuniti adalah sebahagian daripada falsafah syarikat yang mementingkan pembinaan jatidiri, disiplin, dan bakat generasi muda. 

Aspirasi ini selari dengan misi Anson Kidz FC yang sentiasa membuka ruang kepada semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang untuk melibatkan diri dalam bola sepak.

Presiden Anson Kidz FC menzahirkan penghargaan kepada Elgini atas sokongan yang membolehkan hasrat membangunkan komuniti bola sepak di peringkat akar umbi direalisasikan.

“Tanpa penajaan sebegini, amat sukar untuk kami melaksanakan kejohanan besar seperti NFC 2025. Kami percaya kerjasama ini akan membuka jalan kepada lebih banyak sinergi dengan syarikat-syarikat lain pada masa akan datang,” ujar wakil kelab.

Dengan misi “Quality Meets Affordability”, Elgini bukan sahaja menjadi rakan industri tekstil yang unggul, malah kini menjadi sebahagian daripada perjalanan penting pembangunan bakat muda bola sepak negara.

NFC 2025 dijangka menjadi kejohanan akar umbi terbesar di Negeri Perak dan menjadi platform penting melahirkan bintang bola sepak masa depan Malaysia.