Terengganu FC sertai kejohanan antarabangsa di Songkhla, Thailand

244

Terengganu FC bakal mewarnai pentas bola sepak serantau apabila menerima jemputan rasmi daripada Songkhla Provincial Administrative Organization untuk menyertai kejohanan antarabangsa di Stadium Tinsulanonda, Songkhla dari 10 hingga 12 Oktober 2025.

Selain skuad kendalian Badrul Afzan Razali, kejohanan ini turut menampilkan tiga kelab ternama Thailand – Songkhla FC, Buriram United dan BG Pathum United. 


Terengganu FC dijadualkan menentang tuan rumah Songkhla FC, manakala Buriram United akan berdepan BG Pathum United.

Menariknya, kejohanan ini dianjurkan sebagai perlawanan amal dengan kutipan hasil tiket disalurkan untuk pembelian barangan sukan bagi sekolah-sekolah memerlukan serta menyokong aktiviti masyarakat setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai menyifatkan jemputan ini sebagai satu penghormatan buat kelab.


“Selain memberi pendedahan antarabangsa, ia juga peluang untuk kami menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Songkhla Provincial Administrative Organization, Suphit Phithaktham berharap kehadiran Terengganu FC mampu mengeratkan lagi hubungan budaya serta sukan antara Malaysia dan Thailand.