Kekalahan lawan Malaysia jadi ujian berharga buat Singapura – Gavin Lee
Ketua Jurulatih Singapura, Gavin Lee menyifatkan kekalahan 2-1 kepada Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai satu ujian penting menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di India.
Menurutnya Gavin, walaupun kecewa dengan keputusan, perlawanan tersebut memberi pengalaman berharga buat skuad bimbingannya.
“Kami tahu ia bukan tugas mudah bermain di gelanggang lawan dengan sokongan penuh penyokong mereka. Ia benar-benar menguji kami sehingga 95 minit.
Dari segi persiapan, ia sangat penting kerana membantu kami mengikat pasukan lebih rapat sebagai langkah ke hadapan menuju kelayakan,”
katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Gavin turut mengakui pemainnya tidak cukup tenang di saat kritikal, menyebabkan mereka dihukum oleh keampuhan serangan Malaysia.
“Ketika kami bermain lebih bebas, kami sebenarnya menemui banyak solusi baik. Tetapi jika lakukan kesilapan, Malaysia ada kualiti untuk mengambil kesempatan.”
Dalam pada itu, gol tunggal Singapura dijaringkan Ilhan Fandi, hasil gerakan positif yang disudahkan dengan cukup sempurna.
Namun Gavin mengakui faktor kecergasan masih perlu diberi perhatian, khususnya dengan jadual padat.
“Sejujurnya, dari sudut kecergasan, di kem kebangsaan bukan banyak yang boleh kami lakukan. Apa yang kami boleh lakukan ialah pastikan mereka kekal segar dan bebas kecederaan.
Seperti yang sering kami katakan dalam pasukan, kami hanya fokus pada perkara yang boleh dikawal. Jumlah minit bermain di kelab bukan dalam kawalan kami. Tetapi kami tahu pemain mana yang ada kualiti. Bila mereka sertai pasukan, tugas kami adalah sediakan platform terbaik untuk mereka menyumbang buat skuad kebangsaan.”
Sementara itu, Gavin menegaskan skuad Singapura akan terus belajar daripada perlawanan ini, termasuk memperkemas aspek bertahan selepas dibolosi dua kali akibat kurangnya tekanan awal dan kelemahan ketika transisi.