Saya gembira dapat membantu pasukan kebangsaan sekali lagi – Joao Figueiredo
Penyerang Harimau Malaya, Joao Figueiredo, tampil sebagai wira apabila dinobatkan sebagai Man of the Match (MOTM) dalam kemenangan 2-1 Malaysia ke atas Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Figueiredo yang mencatat nama selaku penjaring, menegaskan bahawa kejayaan pasukan jauh lebih penting berbanding pencapaian peribadi.
“Kami ada perkara positif dan juga negatif malam ini, tetapi dalam perlawanan persahabatan sebegini, ia sesuatu yang baik kerana kita boleh perbaiki dan lihat apa yang perlu dilakukan dengan lebih baik.
Kami gembira dengan kemenangan ini, saya gembira dapat membantu pasukan kebangsaan sekali lagi dan kami teruskan usaha untuk capai sasaran kami,”
katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Figueiredo juga tidak menafikan kepuasan peribadi selepas berjaya menjaringkan gol, namun mengulangi komitmennya bahawa kepentingan utama adalah kemenangan Harimau Malaya.
“Saya sangat gembira dengan jaringan gol, tetapi yang paling penting, seperti yang saya katakan pada perlawanan pertama, ialah untuk memenangi perlawanan dan membantu pasukan kebangsaan.”
Sementara itu, kemenangan menentang Singapura ini dilihat mampu meningkatkan semangat serta keyakinan skuad kendalian Peter Cklamovski dalam usaha mengekalkan momentum terbaik menjelang Kelayakan Piala Asia 2027.