Hafiz Kamal idam kembali ke Liga Super
Walaupun sudah mencecah usia 38 tahun, bekas bintang Liga Super, Hafiz Kamal, masih membuktikan dirinya relevan dalam arena bola sepak tempatan.
Hafiz kini beraksi bersama Imigresen FC II dalam saingan Liga A1 Semi Pro, beliau bukan sahaja menyumbang dua gol ketika menewaskan Bunga Raya FC 4-0, malah menjadi tonggak penting membimbing pemain muda dalam pasukan.
“Alhamdulillah, hari ini IFC dapat tiga mata penuh. Walaupun permainan agak sengit, kami berjaya manfaatkan peluang dan jadikan gol. Yang penting, saya dapat bantu pemain muda di bahagian sayap dan gunakan pengalaman untuk menguatkan pasukan,”
katanya.
Mengulas tentang ketahanan fizikalnya walaupun hampir mencecah usia 40 tahun, Hafiz menekankan disiplin sebagai faktor utama.
“Kuncinya adalah fitness. Saya selalu buat latihan tambahan, jaga rehat, tidur cukup, dan kawal pemakanan. Itu yang buat saya masih kekal kompetitif.”
Dalam pada itu, Hafiz turut mengakui saingan Liga A1 kini semakin mencabar dengan kehadiran ramai bekas pemain Liga Super.
“Tempo permainan lebih laju dan fizikal pun keras. Tapi ia bagus kerana boleh cungkil bakat muda untuk diketengahkan ke Liga Super.”
Sementara itu, sebagai pemain berpengalaman dengan hantaran berkualiti, Hafiz masih menyimpan impian untuk kembali ke pentas tertinggi bola sepak Malaysia.
“InsyaAllah, kalau ada rezeki dan dipanggil, saya sedia untuk kembali beraksi di Liga Super.”