Misi hidup-mati Harimau Muda: Wajib tundukkan Thailand

294

Bangkok bakal menjadi saksi pertarungan penentuan apabila skuad B-23 kebangsaan kendalian Nafuzi Zain turun menentang tuan rumah Thailand dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia B-23 2026. 

Malaysia wajib meraih kemenangan jika mahu layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.


Menurut Nafuzi, moral pasukan berada pada tahap baik selepas melalui proses pemulihan daripada perlawanan kedua. 

Beliau menegaskan pemain kini lebih fokus menghadapi cabaran getir menentang skuad Gajah Perang yang dianggap salah satu pasukan terbaik rantau ini.

“Thailand mempunyai ramai pemain berkualiti, majoritinya beraksi cemerlang dalam dua perlawanan sebelum ini. Ia bukan tugas mudah, tetapi yang penting kita yakin, jangan takut dan bermain mengikut perancangan,”

katanya.

Nafuzi juga mendedahkan seorang pemain mengalami kecederaan serius ACL, namun selebihnya bersedia untuk diturunkan. 

Dalam pada itu, Nafuzi turut memberi bayangan akan ada sedikit perubahan di bahagian tengah bergantung kepada kondisi pemain.

“Dari segi permainan di bahagian tengah, sudah tentu kita perlu lakukan sedikit perubahan. Namun, ia juga bergantung kepada kondisi pemain selepas dua perlawanan sebelum ini. Jika semua berada dalam keadaan baik, mungkin hanya akan ada satu atau dua pertukaran sahaja. Kita akan lihat keadaan sebenar menjelang aksi terakhir esok.”

Sementara itu, mengulas faktor cuaca hujan lebat yang melanda Bangkok sejak beberapa hari lalu, Nafuzi menegaskan skuadnya akan menyesuaikan strategi agar tetap mampu bermain dengan baik dalam keadaan sukar.

“Harapan saya agar pemain turun dengan penuh keyakinan, tidak gugup, dan berikan segalanya. Kita perlukan tiga mata dan kita akan berjuang habis-habisan.”