Revolusi Harimau Malaya: Tamparan positif untuk pemain tempatan – V. Saravanan
Bekas pemain kebangsaan, V. Saravanan yang kini bergelar jurulatih pembangunan di Finland, menyifatkan revolusi bola sepak Harimau Malaya yang digerakkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai titik perubahan besar dalam landskap bola sepak Malaysia.
Menurut Saravanan, langkah berani TMJ meletakkan standard baharu adalah tamparan positif buat pemain tempatan agar lebih bersedia bersaing.
“Kalau nak main dengan pasukan kebangsaan, inilah tahapnya. Permintaan tinggi, jadi pemain kena capai tahap itu. Ini bukan untuk melemahkan, sebaliknya memberi motivasi agar mereka melangkah lebih jauh,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Saravanan turut mengimbas pengalamannya berdepan Jepun ketika mewakili negara.
“Di liga tempatan, saya boleh pegang bola dua hingga tiga minit. Tetapi bila jumpa Jepun, tiga saat sahaja bola sudah hilang. Dari situ saya sedar, tahap permainan antarabangsa menuntut kelajuan berfikir, hantaran yang tepat, dan keputusan yang lebih pantas. Itu level yang kita kena kejar.”
Dalam pada itu, Saravanan juga percaya percaya Malaysia tidak perlu menunggu terlalu lama untuk melihat hasil revolusi ini.
Jelasnya, jika dilaksanakan dengan tersusun, termasuk pengambilan jurulatih pakar, pendedahan antarabangsa, serta pembangunan akar umbi yang konsisten, perubahan ketara boleh dilihat dalam tempoh satu hingga dua tahun.
“Malaysia punya bakat memang banyak, tetapi pendedahan kurang. Itu yang perlu diperkasakan segera.”
Beliau pada masa sama turut berharap kualiti pemain tempatan tidak tenggelam di sebalik kehadiran pemain warisan.
Baginya, peluang harus digunakan untuk membentuk pemain tempatan agar benar-benar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Saravanan juga berkata walaupun kini berkhidmat di luar negara sebagai jurulatih pembangunan di Finland, beliau menegaskan hatinya tetap dengan Malaysia dan mahu terus berkongsi ilmu dan pengalaman demi kemajuan bola sepak tanah air.
“Walaupun saya kini berada di luar negara, hati saya tetap bersama Malaysia. Saya mahu kongsi ilmu dan pengalaman untuk sama-sama majukan bola sepak tanah air. Kita tidak boleh hanya duduk dan menunggu, kita kena bertindak sekarang.”