Nafuzi bangga dengan komitmen pemain meskipun tewas kepada Thailand

110

Hasrat skuad B-23 kebangsaan untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 di Riyadh tidak kesampaian selepas tewas 2-1 kepada tuan rumah Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F. 

Kekalahan itu sekali gus menutup peluang Malaysia untuk melangkah lebih jauh, namun ketua Jurulatih, Nafuzi Zain tetap memuji semangat juang para pemainnya.


Menurut Nafuzi, pasukannya telah memberikan tentangan sengit dan berjaya mencipta beberapa peluang jelas untuk menjaringkan gol.

“Thailand sebuah pasukan yang sangat baik, mempunyai pemain berkualiti. Tetapi kami tetap memberi tentangan hebat dan juga mempunyai peluang untuk menang. Kami mencipta banyak peluang jelas untuk menjaringkan gol.

Namun akhirnya, kami melakukan kesilapan dan membenarkan lawan menjaringkan gol. Sebab itu kami tewas 2-1 pada minit akhir. Untuk keputusan ini, saya rasa kecewa. Tetapi dengan komitmen pemain malam ini, saya sangat berbangga,”

katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai faktor padang yang berat akibat hujan lebat, Nafuzi berkata kedua-dua pasukan terpaksa bermain lebih banyak bola terus, sekali gus menyukarkan mereka untuk mempamerkan corak permainan sebenar. 

Nafuzi pada masa sama turut menyangkal anggapan kekalahan pasukannya berpunca daripada keletihan, sebaliknya mengakui kesilapan mudah telah meragut peluang pasukan.

Biarpun kecewa, beliau melihat kejohanan ini sebagai medan penting untuk memberikan pengalaman kepada skuad muda dan percaya pendedahan sebegini akan membantu memperbaiki prestasi menjelang Sukan SEA akan datang. 

“Kita masih ada banyak ruang untuk belajar dan memperbaiki diri.”

Sementara itu, Nafuzi juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong Malaysia atas sokongan berterusan. 

Tegasnya, walaupun gagal layak, skuad muda negara sudah memberikan segalanya dalam kempen kali ini dan berjanji akan terus bekerja keras demi masa depan bola sepak tanah air.