Dari Samarahan ke Mainz: Perjalanan Marissa ke pentas bola sepak Jerman

181

Di sebalik usia yang masih muda, bakat bola sepak wanita Malaysia mula menampakkan sinarnya di pentas antarabangsa. Marissa Graciewenndy Anak Robert, pemain berusia 13 tahun dari Kampung Sungai Batu, Kota Samarahan, Sarawak kini mencuri perhatian selepas menyertai program pembangunan bola sepak di Jerman melalui Destiny International Pathway Programme.

Menerusi inisiatif itu, Marissa menjalani latihan intensif selama lapan hari bersama dua kelab ternama iaitu FSV Mainz 05, pasukan Bundesliga 1, dan VfR Wormatia 08 Worms. 


Pengalamannya di sana bukan sahaja memberi pendedahan tentang standard bola sepak Eropah, malah mendapat maklum balas positif daripada jurulatih yang melihat potensi besarnya untuk beraksi dalam liga bola sepak wanita Jerman.

Marissa yang kini bernaung di bawah Akademi Bolasepak Samarahan serta Destiny FDC, menjadi simbol harapan baharu buat pembangunan bola sepak wanita di Malaysia. 

Kejayaannya menembusi program pembangunan di Jerman menjadi bukti bahawa pemain muda negara mampu bersaing di pentas antarabangsa jika diberi peluang dan laluan yang tepat.

Kisah Marissa adalah inspirasi untuk generasi baharu bahawa impian untuk melangkah ke Eropah bukan lagi mustahil, malah permulaan kepada masa depan yang lebih gemilang untuk bola sepak wanita Malaysia.