Dari Destiny FDC ke Bundesliga: Tiga bakat negara ukir jejak
Impian untuk beraksi di Eropah kini bukan lagi angan-angan kosong buat anak muda Malaysia.
Menerusi Destiny International Pathway Programme, tiga bakat tempatan berjaya menjejakkan kaki ke Jerman, salah satu pusat bola sepak paling berprestij di dunia, bagi meneruskan latihan dan pembangunan bersama kelab FC Victoria Bammental 1910 e.V.
Antara yang mencuri perhatian ialah Mohamed Mikhayel Bin Mohamed M, pemain berusia 16 tahun yang menunjukkan potensi besar sejak awal penglibatannya bersama Destiny FDC.
Usia mudanya bukan penghalang, malah dia kini sedang menimba pengalaman berharga untuk membentuk asas kukuh dalam karier bola sepak profesional.
Turut serta ialah Mohamed Al Jeffry, pemain berusia 19 tahun yang tampil dengan keyakinan serta kematangan di padang.
Sebagai antara pemain paling berusia dalam kelompok ini, pengalamannya dijangka menjadi tonggak penting untuk membantu rakan-rakan sepasukan menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak Jerman yang lebih pantas dan fizikal.
Sementara itu, Norman Tan Yuk Yin, 17 tahun, membawa dimensi berbeza dalam program pembangunan ini.
Dikenali dengan disiplin tinggi serta daya juang yang kental, Norman dilihat sebagai antara prospek jangka panjang yang mampu bersaing di pentas lebih tinggi.
Ketiga-tiga pemain ini, dengan latar belakang berbeza tetapi bernaung di bawah akademi sama, Destiny FDC, membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu melangkah jauh sekiranya diberi platform dan laluan yang betul.
Kehadiran mereka di bumi Jerman bukan sahaja membuka peluang baharu buat diri sendiri, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda bola sepak tanah air.
Dengan pendedahan di Eropah, mereka kini sedang membina asas penting untuk menjadi pemain profesional yang lebih matang, berdaya saing dan bersedia mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti.