Harimau Muda fokus Sukan SEA 2025: Nafuzi optimis buru pingat
Kegagalan skuad B-23 kebangsaan untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 di Riyadh mungkin membawa kekecewaan, namun bagi ketua jurulatih Nafuzi Zain, pengalaman di Bangkok adalah titik penting yang bakal menguatkan pasukan menjelang Sukan SEA Disember depan.
Malaysia menutup kempen Kumpulan F dengan kekalahan 2-1 kepada tuan rumah Thailand, selepas sebelumnya beraksi menentang Lubnan dan Mongolia.
Walaupun gagal melangkah lebih jauh, Nafuzi menegaskan bahawa persembahan skuad muda negara menunjukkan perkembangan positif.
“Kalau dilihat dari perlawanan pertama hingga terakhir, kita jelas semakin baik. Malah, ketika bertemu Thailand, pemain memberi tentangan hebat walaupun padang berat selepas hujan. Saya bangga dengan semangat mereka,”
katanya.
Menurut Nafuzi, kekalahan itu berpunca daripada kesilapan kecil di saat-saat akhir, bukannya kerana keletihan atau kekurangan kualiti.
“Kita mencipta banyak peluang, bahkan berpeluang menamatkan permainan lebih awal. Tapi peluang terlepas dan lawan menghukum kesilapan kita. Itu pengajaran besar untuk pemain muda di pentas antarabangsa.”
Nafuzi turut menekankan bahawa perlawanan menentang Thailand dan Indonesia memberi gambaran jelas bahawa Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding kuasa besar rantau ini.
“Jurang permainan tidak besar. Malah ada aspek permainan kita lebih baik. Bezanya hanya pada individu dan ketenangan menyudahkan peluang. Itu yang kita perlu perkemaskan.”
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai moral pemain selepas tamat perlawanan semalam, Nafuzi mengakui kekecewaan memang ada kerana mereka percaya layak mara berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.
“Kalau kita bermain buruk, mungkin kekecewaan itu mudah diterima. Tapi bila kita bermain baik, lawan berkualiti pun kita lawan habis-habisan, itu yang buat pemain rasa mereka sepatutnya layak. Walaupun begitu, saya lihat mereka belajar sesuatu yang penting.”
Selepas kembali ke tanah air, perancangan pasukan ialah memberi ruang kepada pemain untuk kembali bersama kelab masing-masing, terutama Liga A1 yang tertangguh kerana kelayakan ini.
Sementara itu, ditanya mengenai sasaran di Sukan SEA, Nafuzi optimis bahawa pingat adalah sesuatu yang realistik.
“Kita kena percaya. Dengan perancangan baik, keyakinan tinggi, serta usaha keras, tidak mustahil kita mampu raih kejayaan. Pemain pun sudah mula sedar mereka sebenarnya setaraf dengan pasukan terbaik ASEAN.”
Tegasnya, mesej paling penting buat pemain ialah menjadikan kegagalan di Bangkok sebagai pembakar semangat untuk bangkit di Disember nanti.