Sukan SEA adalah pentas terakhir tahun ini. Itu peluang kami untuk tebus maruah – Ubaidullah
Kekecewaan jelas terpancar di wajah kapten skuad B-23 kebangsaan, Ubaidullah Shamsul, sebaik tamat kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Bangkok yang menyaksikan Harimau Muda gagal melayakkan diri ke pusingan akhir di Riyadh, Arab Saudi, sekali gus menutup peluang untuk bersaing di pentas tertinggi Asia.
Menurut Ubaidullah, pengalaman itu cukup pahit kerana ini kali kedua beliau merasai kegagalan selepas Piala AFF sebelum ini.
“Sudah tentu saya kecewa kerana ini kali kedua. Selepas AFF, tetap tak dapat keputusan. Dari segi permainan memang ada peningkatan, tapi tanpa hasil, ia tak beri makna,”
katanya.
Ubaidullah juga mendedahkan suasana di bilik persalinan selepas perlawanan menentang Thailand yang cukup suram dek hampa kerana gagal walaupun sudah memberikan segala-galanya di atas padang.
“Gol lawan datang daripada kesilapan kecil. Tapi itulah bola sepak. Kita cuba terbaik, selebihnya Tuhan tentukan.”
Dalam pada itu, Ubaidullah enggan terus meratapi kegagalan itu sebaliknya berkata kegagalan di Bangkok mesti dijadikan pengajaran dan pemangkin untuk bangkit di Sukan SEA 2025 yang bakal berlangsung Disember depan di Thailand.
“Sukan SEA adalah pentas terakhir tahun ini. Itu peluang kami untuk tebus maruah. Tekanan memang ada, tapi kami kena buktikan sesuatu untuk negara.”
Beliau turut mengakui cabaran yang menanti amat besar dengan kuasa serantau seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia memiliki pemain berprofil tinggi di kelab masing-masing.
“Mereka semua ada pengalaman dan kualiti tinggi. Kita pula ada kekangan dari segi depth skuad. Tapi kalau persediaan kita mantap, ia boleh tutup jurang.”
Bagi Ubaidullah, Malaysia sebenarnya tidak jauh ketinggalan, cuma bezanya cuma pada decision making.
Sementara itu, Ubaidullah menegaskan bahawa Harimau Muda mampu mencipta kejutan jika diberi sokongan dan perancangan yang baik.
“InsyaAllah, kami akan beri segalanya. Kegagalan di Bangkok jadi pembakar semangat. Sukan SEA adalah peluang untuk kami buktikan Harimau Muda mampu bangkit.”