Watford perkenal jersi khas inspirasi Sir Elton John
Kelab Watford memperkenalkan jersi khas yang diinspirasikan oleh bekas pengerusi mereka, legenda muzik dunia Sir Elton John, sempena ulang tahun hampir 50 tahun beliau menjadi pengerusi kelab pada 1976.
Dipetik dari BBC, menurut Watford, Sir Elton yang merupakan penyokong tegar Hornets sejak usia enam tahun, terlibat secara langsung dalam proses rekaan jersi tersebut.
Rekaannya diinspirasikan daripada karya seni album Diamonds dan hanya akan dipakai sekali sahaja, ketika aksi menentang Blackburn Rovers dalam saingan Championship pada Sabtu ini.
Jersi itu diperbuat daripada kain poliester knit dengan corak bintang, logo Watford dan lencana “Happy Hornet” yang digunakan ketika Sir Elton mula menerajui kelab.
Bahagian belakang turut diembos dengan lirik lagu ikonik Your Song: “How wonderful life is while you’re in the world.”
Sir Elton pernah menjadi pengerusi dan pemilik Watford pada era 1970-an dan 1980-an, ketika Graham Taylor membimbing kelab itu naik daripada Divisyen Keempat ke Divisyen Pertama serta mara ke final Piala FA pertama dalam sejarah mereka pada 1984.