Dele Alli tinggalkan Como selepas kontrak ditamatkan
Bekas pemain tengah England, Dele Alli, kini berstatus tanpa kelab selepas kontraknya bersama kelab Serie A, Como, ditamatkan lebih awal.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 29 tahun itu menyertai Como pada Januari lalu dengan kontrak 18 bulan, namun hanya sempat membuat satu penampilan – itupun berakhir dengan insiden kad merah selepas 10 minit dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang AC Milan.
Pengurus Como, Cesc Fabregas, dilaporkan tidak memasukkan Alli dalam perancangannya untuk musim 2025/26, sekali gus membuka jalan kepada persetujuan bersama bagi menamatkan kontrak.
“Dele berhasrat untuk mendapatkan peluang bermain secara tetap. Selepas berbincang, kedua-dua pihak merasakan keputusan ini terbaik menjelang penutup jendela perpindahan,” jelas kenyataan rasmi kelab.
Dele sebelum ini pernah mewarnai kancah Premier League bersama Tottenham Hotspur dan Everton, serta menjadi sebahagian skuad England yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018.
Kini, masa depan bekas bintang muda itu menjadi tanda tanya sama ada beliau mampu mengembalikan semula kariernya yang kian merudum.