Jamie Vardy sah sertai Cremonese, sedia harungi cabaran Serie A
Bekas penyerang Leicester City dan England, Jamie Vardy, kini sah menyertai kelab Serie A Itali, Cremonese, selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan pilihan lanjutan setahun lagi sekiranya pasukan itu berjaya kekal di saingan tertinggi.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 38 tahun itu sebelum ini tanpa kelab sejak kontraknya bersama Leicester tamat pada Jun lalu.
Vardy meninggalkan legasi besar di King Power Stadium selepas menjaringkan 200 gol dalam 500 penampilan, termasuk memimpin kelab itu menjulang kejuaraan bersejarah Premier League pada musim 2015-16 dan Piala FA 2021.
Beliau turut merekodkan tujuh gol dalam 26 penampilan bersama skuad kebangsaan England.
Cremonese, yang kembali ke Serie A musim ini, bermula cemerlang dengan kemenangan ke atas Sassuolo dan AC Milan.
Kehadiran Vardy dijangka menambah sengat di barisan serangan, dengan debutnya berkemungkinan hadir pada 15 September menentang Hellas Verona.
Vardy kini berpeluang membuka lembaran baharu dalam kariernya di pentas bola sepak Itali.