Bermain di laman sendiri, Selangor FC sasar tiga mata penuh menentang Bangkok United

182

Selangor FC bakal memulakan kempen AFC Champions League Two (ACL2) Kumpulan G menentang Bangkok United FC di Stadium MBPJ esok, dengan misi jelas memburu tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri. 

Ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi menegaskan bahawa kelebihan beraksi di laman sendiri akan menjadi faktor penting dalam usaha memastikan permulaan positif buat Red Giants.


“Kami sangat berbesar hati dapat berada di sini sebagai peserta ACL2. Peluang ini menjadikan kami lebih kuat kerana ia memberi ruang untuk berdepan pasukan hebat dari negara lain. Tetapi yang lebih penting, kami ada peluang bermula di laman sendiri, bersama sokongan ribuan penyokong. Itu adalah kelebihan besar buat kami,”

katanya.

Kinoshi bagaimanapun tidak mahu pemainnya terlalu selesa dengan faktor ‘home advantage’ semata-mata. 

Menurutnya, statistik memang menunjukkan setiap kelab biasanya lebih kuat ketika bermain di gelanggang sendiri, namun ia hanya akan membawa kemenangan jika disertai dengan fokus dan disiplin.

“Kalau kami terlalu yakin dengan kelebihan ini, ia boleh memakan diri. Jadi saya ingatkan pemain supaya jangan terlalu fikir tentang kelebihan padang atau sokongan penyokong, sebaliknya gunakan semua itu untuk tingkatkan motivasi dan beri persembahan 100% di atas padang.”

Dalam pada itu, Kinoshi juga mengakui Bangkok United bukanlah lawan mudah kerana skuad dari Thailand itu memiliki keseimbangan pasukan yang baik dengan gabungan pemain Serbia, Brazil, dan Jepun, selain baru sahaja mencatat kemenangan meyakinkan menentang Chonburi. 

Namun, beliau percaya semangat bermain di hadapan penyokong sendiri akan menjadi dorongan tambahan buat Selangor untuk menyaingi kekuatan lawan.

Sementara itu, isu cuaca panas pada pukul 6 petang dianggap tidak memberi masalah besar kerana Selangor sudah terbiasa berlatih pada waktu sama. 

Malah, keadaan padang MBPJ yang dijaga rapi turut diyakini mampu memberi kelebihan kerana para pemain sudah serasi dengan permukaan tersebut, berbanding lawan yang mungkin tidak biasa.

“Walaupun padang ini mungkin berbeza dari apa yang mereka biasa guna, saya percaya ia bukan alasan untuk menghalang permainan. Bagi kami, padang ini sempurna walaupun selepas hujan lebat. Jadi kami akan gunakan sebaik mungkin untuk menampilkan corak permainan Selangor.”