Terengganu FC – Persija Jakarta buka lembaran baharu bola sepak serantau

129

Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) terus melangkah ke hadapan apabila mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan kelab gergasi Indonesia, Persija Jakarta, di ibu negara republik itu pada Selasa. 

Pertemuan bersejarah ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al Bajrai, bersama Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizan Mohd Zain, manakala Persija Jakarta diwakili Presiden kelab, M. Prapanca, serta Pengarah Sukan, legenda bola sepak Indonesia, Bambang Pamungkas.


Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah pembangunan bakat muda, pertukaran kepakaran kejurulatihan, penganjuran perlawanan persahabatan antarabangsa, serta peluang komersial yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.

Sheikh Farouk menegaskan, kerjasama ini bukan sekadar melibatkan aspek teknikal bola sepak, tetapi juga membuka ruang kepada nilai komersial serta mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia. 

“Perjumpaan ini bukan sahaja membina jambatan bola sepak antara dua negara, malah mampu memberi impak besar kepada pembangunan bola sepak serantau,” katanya.

Presiden Persija, M. Prapanca, turut menyambut baik pertemuan ini dengan penuh keterbukaan. 

Beliau percaya kolaborasi tersebut mampu memperkasa bakat muda, memperkukuh jaringan profesional, dan seterusnya menyatukan komuniti bola sepak ASEAN.

TFCSB yakin langkah ini menjadi permulaan kepada sinergi yang lebih besar di masa depan, sekali gus memperkukuh kedudukan Terengganu FC di pentas antarabangsa serta meningkatkan daya saing bola sepak Malaysia dalam ekosistem serantau.