Bangkok United raih kemenangan penting, Totchtawan puji semangat juang Selangor FC
Ketua jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan gembira apabila pasukannya berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Selangor FC 4-2 dalam aksi peringkat kumpulan AFC Champions League Two (ACL2) di Stadium MBPJ, namun mengakui perlawanan itu tidak semudah yang disangka.
Menurut Totchtawan, beliau dan pasukannya sudah menjangkakan cabaran getir menentang Selangor, tambahan pula dengan keadaan padang yang memerlukan masa untuk dibiasakan.
“Kami tahu ia bakal jadi perlawanan yang sukar, dan ya, ia memang terbukti begitu. Ada beberapa kesilapan kerana saya sendiri tidak begitu biasa dengan keadaan padang, tetapi kami cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin,”
katanya.
Totchtawan turut mengakui bahawa 20 hingga 30 minit pertama menyaksikan Bangkok United masih mencari keseimbangan dalam pertahanan.
Namun selepas itu, mereka mula menyesuaikan diri dengan corak permainan Selangor, sekaligus berjaya mendahului dua gol sebelum tuan rumah kehilangan seorang pemain akibat kad merah.
“Kami mungkin tidak begitu dominan, tetapi kredit harus diberikan kepada pemain kerana mereka cepat menyesuaikan diri. Selepas itu, kami dapat menguasai rentak permainan.”
Dalam pada itu, Totchtawan juga tidak menafikan Selangor tetap memberi cabaran sehingga ke penghujung perlawanan walaupun beraksi dengan 10 pemain.
“Mereka tetap mampu menjaringkan gol pada babak kedua, dan itu menunjukkan semangat juang yang tinggi. Selangor sebuah pasukan yang bagus dan semakin berkembang sejak dua tahun kebelakangan ini.”
Mengulas lanjut mengenai aspek taktikal, Totchtawan menjelaskan Bangkok United sudah bersedia menghadapi pertahanan lima pemain Selangor.
“Kami tahu ada ruang di antara pertahanan tengah mereka. Pemain tengah kami pandai memanfaatkan ruang itu, dan penyerang kami berjaya menggunakan peluang dengan baik. Itu kunci kemenangan malam ini.”
Sementara itu, dengan kemenangan ini, Bangkok United memperkukuh kedudukan mereka dalam saingan ACL2 sambil menghantar isyarat jelas bahawa mereka bersedia menghadapi jadual padat menanti.