Generasi baharu Thailand perlu bangkit bersaing di peringkat Asia – Teerasil Dangda

75

Pemain senior Bangkok United FC, Teerasil Dangda, sekali lagi membuktikan ketajaman dan pengaruhnya dalam skuad selepas membantu pasukan meraih kemenangan 4-2 ke atas Selangor FC dalam saingan peringkat kumpulan AFC Champions League Two (ACL2) di Stadium MBPJ.

Meskipun Bangkok United beraksi menentang Selangor yang terpaksa bermain dengan 10 orang selepas layangan kad merah, Teerasil menegaskan ia bukanlah perlawanan yang mudah.


“Kami sudah tahu sejak awal ia akan menjadi sukar, dan memang terbukti begitu. Walaupun kami ada kelebihan pemain, ia tetap satu perlawanan mencabar. Tetapi dengan semangat juang dan kerjasama pasukan, kami berjaya membawa pulang tiga mata,”

katanya.

Tambah Teerasil lagi, walaupun mempunyai pengalaman luas mengenai corak bola sepak Malaysia, baginya ia tidak memberi kelebihan buat mereka.

“Saya sudah biasa bermain di Malaysia, tetapi suasana stadium, penyokong, dan keadaan padang tetap menjadikan ia perlawanan yang sukar. Apa pun, kami gembira dengan keputusan ini.”

Dalam pada itu, Teerasil juga sempat mengulas tentang perkembangan bola sepak Malaysia yang kini diterajui jurulatih kelahiran Australia, Peter Cklamovski.

“Saya pernah bekerjasama dengannya semasa di Jepun. Dengan pengalamannya, saya yakin dia mampu membantu pemain Malaysia untuk berkembang lebih baik. Saya lihat mereka semakin kuat sejak kebelakangan ini.”

Pada masa sama beliau turut mengulas mengenai trend penggunaan pemain warisan yang disifatkan sebagai satu model baharu yang turut memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

“Banyak negara sudah lakukan, dan ia memang membantu menambah kualiti skuad. Mungkin di Thailand juga perkara ini boleh dipertimbangkan pada masa depan.”

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai hala tuju pasukan kebangsaan Thailand, Teerasil menaruh keyakinan tinggi terhadap generasi baharu.

“Kami ada sasaran ke Piala Asia dan Kelayakan Piala Dunia. Generasi baharu perlu tampil lebih berani untuk bersaing dengan pasukan besar seperti Vietnam dan Malaysia. Saya percaya mereka mampu, dan kami akan berusaha sebagai satu pasukan untuk mencapainya.”