KBS tegaskan ketelusan dalam agihan Geran Padanan Sukan, peruntukan skuasy cecah RM1.3 juta
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmennya terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam agihan Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM30 juta, susulan isu pembatalan kejohanan skuasy yang tidak diluluskan untuk pembiayaan.
Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Ts. Dr. K. Nagulendran, menjelaskan bahawa permohonan ACE Malaysia Squash Cup 2025 ditolak kerana berlangsung selepas tarikh akhir kelayakan iaitu 31 Oktober 2025, selaras dengan prosedur perakaunan tahunan kerajaan.
Beliau menekankan bahawa garis panduan GPS telah dimaklumkan secara meluas melalui sidang media, laman web rasmi serta 12 sesi taklimat kepada semua pemegang taruh sukan.
Kerangka GPS 2025 turut menekankan hanya badan berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) layak menjadi pemohon, manakala syarikat swasta kekal sebagai rakan strategik.
Keberkesanan sistem ini terbukti apabila Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) berjaya memperoleh RM390,000 bagi penganjuran Malaysia Cup 2025.
Sejak 2023, sukan skuasy telah menerima keseluruhan RM1.3 juta menerusi GPS, melibatkan penganjur seperti SRAM, Persatuan Skuasy Negeri Sembilan, Persatuan Skuasy Negeri Perlis dan Persatuan Skuasy Pulau Pinang.
Selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI, KBS menekankan kepentingan tadbir urus berintegriti serta menggalakkan badan sukan membangunkan model pembiayaan yang mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.