Liga Super, bola sepak bergerak lebih laju, di Liga A1, pemain bergerak lebih laju – Asnan

374

Kedah FA terus mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Liga A1 apabila berjaya menewaskan Malaysian University FT (MUFT) 3-1 di Stadium MMU Cyberjaya. 

Bagi pemain tengah berpengalaman, Asnan Ahmad, kemenangan ini membuktikan pasukan sedang berada di landasan yang tepat.


“Asalnya kita bermula agak lambat dalam membentuk pasukan, tapi dari game ke game kita makin serasi. Selepas ada sesi team building di Langkawi, hubungan sesama pemain semakin erat. Itu banyak membantu kami memahami apa yang coach mahukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Asnan turut mengakui perbezaan ketara intensiti permainan antara Liga Super dan Liga A1 memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas beraksi di liga tertinggi negara sebelum ini.

“Di Liga Super, bola sepak bergerak lebih laju. Tapi di Liga A1, manusia (pemain) bergerak lebih laju. Jadi dari segi fizikal, ia sangat mencabar.”

Dalam pada itu, walaupun Kedah masih berdepan masalah penyudah, Asnan yakin prestasi pasukan semakin meningkat. 

“Dulu kita hanya dapat satu gol, sekarang tiga gol. Ini menunjukkan ada progres. Cuma peluang tidak boleh disia-siakan.”

Sementara itu, Asnan turut menzahirkan penghargaan buat penyokong setia Sang Kenari yang tetap turun ke stadium walaupun mereka bermain di tempat lawan.