Syamil akui konsistensi jadi cabaran utama Seoul Phoenix
Pemain muda Seoul Phoenix FC, Wan Syamil Sulaiman mengakui pasukannya masih mencari rentak konsisten selepas tewas 1-3 kepada Armed Forces FC (AFFC) dalam aksi Liga A1 di Stadium MINDEF petang Tadi.
Menurut Syamil, pasukannya sebenarnya memiliki kualiti untuk menyaingi mana-mana lawan, termasuk selepas mencatat kemenangan berharga menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.
Namun, katanya, bola sepak bukan sekadar soal teknik, tetapi turut menuntut disiplin, semangat juang, serta kebijaksanaan membuat keputusan.
“Kadang-kadang kita belajar daripada kegagalan. Yang penting jangan ulang kesilapan sama. Saya sendiri pun ambil pengajaran,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan tadi, Syamil berkata kelekaan sejak awal perlawanan menjadi punca Phoenix ketinggalan dua gol pantas.
“Mungkin sebab masalah persediaan dari warm-up, kita tak kick-start game dengan baik. Baru selepas dibolosi, kita tersedar secara mental.”
Beraksi bersama rakan sepasukan yang majoritinya berasal dari Korea, Syamil mengakui cabaran komunikasi wujud, tetapi katanya, bola sepak adalah bahasa universal yang boleh difahami melalui gerak isyarat, demonstrasi dan kefahaman taktikal di padang.
Dalam pada itu, Syamil menegaskan bahawa kehadiran beliau dalam pasukan bukan sekadar mahu menggunakan kelab itu sebagai ‘loncatan’, tetapi mahu memberi sepenuh komitmen kepada kejayaan pasukan.
“Bagi saya, setiap pasukan yang beri kepercayaan, saya akan balas dengan 100% kerja keras.”
Sementara itu, Syamil juga optimis keserasian pasukan akan terus berkembang dengan masa, namun menegaskan mereka tidak mampu menunggu sehingga pusingan kedua liga.