Dembele rangkul Ballon d’Or pertama

49

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele, mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or pertamanya pada majlis gilang-gemilang di Paris. 

Dipetik dari BBC, pemain berusia 28 tahun itu tampil cemerlang musim lalu dengan menjaringkan 35 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 53 perlawanan, sekali gus membantu PSG meraih treble Champions League, Ligue 1 dan Piala Perancis.


Selain muncul penjaring terbanyak bersama Ligue 1 dengan 21 gol, Dembele turut dinamakan Pemain Terbaik Ligue 1 dan Champions League. 

Sumbangannya juga membawa PSG mara ke final Piala Dunia Kelab, sebelum tunduk kepada Chelsea.

Menewaskan remaja sensasi Barcelona, Lamine Yamal, Dembele tidak dapat menahan sebak ketika menerima trofi yang disampaikan oleh legenda Brazil, Ronaldinho. 

“Saya tiada kata-kata, ini pengalaman luar biasa. PSG umpama keluarga, presiden dan jurulatih seperti bapa buat saya,” ujarnya.

Biarpun kini diketepikan akibat kecederaan dan terlepas kekalahan PSG 0-1 kepada Marseille, Dembele menegaskan bahawa trofi individu ini sebenarnya adalah hasil kejayaan kolektif seluruh pasukan.