Amir Abada cemerlang di Brunei, idam sarung jersi Harimau Malaya
Debut yang cukup manis buat pemain warisan Malaysia-Mesir, Amir Abada Tawfik, apabila meledak satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan membantu Indera SC menundukkan Jerudong FC 3-0 dalam aksi pembukaan Liga Super Brunei.
Amir, yang berhijrah dari skuad Piala MFL Sabah FC II, pantas menunjukkan kualitinya hingga menarik perhatian ramai.
Pemain berusia 22 tahun itu mengakui mahu mengekalkan prestasi konsisten musim ini selain menyimpan impian besar untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Syukur debut saya bermula dengan baik. Fokus saya adalah bantu pasukan capai sasaran, dan jika rezeki jadi penjaring atau pengumpan terbanyak, itu bonus.
Impian terbesar saya ialah wakili Malaysia, dan jika ada peluang beraksi di luar negara, itu juga cita-cita saya,”
katanya.
Dalam pada itu, Ketua jurulatih, Raja Isa Raja Akram Shah, turut memuji kesungguhan Amir yang dianggap simbol harapan Indera SC.
Beliau mahu falsafah bola sepak yang diterapkan sejak Mei lalu diterjemahkan di atas padang, dengan misi membawa Indera SC muncul juara liga serta kembali beraksi di pentas Asia pada musim 2026-2027.
“Impian saya mahu melihat Indera SC muncul juara musim ini dan kembali beraksi di peringkat Asia untuk musim 2026-2027.
Lebih membanggakan semenjak saya menjadi ketua jurulatih, saya telah berjaya membawa pasukan ini ke peringkat akhir Piala FA dan 9 pemain saya dapat bermain dengan skuad Brunei Bawah 23 serta empat pemain senior dipanggil ke skuad kebangsaan Brunei.”
Sementara itu, Liga Super Brunei 2025 membuka tirai dengan 12 pasukan, dan kemenangan ini meletakkan Indera SC di tangga kedua dengan tiga mata penuh.