Safawi Rasid buktikan ketajaman, kini antara penjaring terbanyak Liga Super
Nama Safawi Rasid kembali menjadi bualan hangat selepas meledak lima gol dalam lima perlawanan Liga Super 2025/26 bersama KL City FC, sekali gus menempatkan dirinya dalam senarai penjaring terbanyak ketika ini.
Ketika ini, Safawi beraksi dalam lima perlawanan liga dan kesemuanya disudahkan dengan jaringan.
Beliau turut tampil dalam dua perlawanan Piala FA, walaupun masih belum membuka akaun jaringan di pentas itu.
Perpindahan secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ke KL City pada Julai lalu dilihat sebagai langkah yang menyegarkan kembali kariernya.
Setelah beberapa musim berdepan prestasi tenggelam-timbul, Safawi kini mempamerkan keyakinan baharu dan ketajaman di hadapan gawang.
Peminat bola sepak tempatan seakan menyaksikan semula kelibat Safawi yang pernah digeruni di peringkat Asia Tenggara.
Jika rentak cemerlang ini diteruskan, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Safawi mampu menjadi pencabar utama kepada Arif Aiman dalam perebutan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super musim ini.
Lebih daripada itu, prestasi sebegini juga bakal membuka ruang dan peluang untuk beliau kembali mewarnai pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, pastinya menilai dengan teliti prestasi Safawi kerana skuad negara kini berada dalam misi penting iaitu Kelayakan Piala Asia 2027.
Dengan pengalaman luas di pentas antarabangsa, termasuk penampilan bersama JDT di AFC Champions League (ACL) sebelum ini, Safawi jelas memiliki sesuatu yang boleh membantu Malaysia mencapai sasaran tersebut.
Selain kepakaran dalam sepakan percuma dan rembatan kaki kiri yang berbisa, Safawi juga membawa kreativiti, kelincahan dan keberanian untuk mencabar pertahanan lawan.
Gandingan mantapnya bersama rakan sepasukan dalam pasukan, The City Boys kini menjadi pentas sempurna untuk Safawi mengembalikan aura seorang bintang.
Dengan lima gol dalam lima aksi liga, Safawi bukan sekadar kembali membuktikan dirinya, malah menunjukkan potensi untuk sekali lagi menjadi tonggak utama bola sepak tanah air.
Jika konsistensi ini dikekalkan, tidak mustahil beliau bakal diangkat semula sebagai wajah harapan Harimau Malaya dan calon utama anugerah MVP musim ini.