Kinoshi bangga dengan mentaliti pemain Selangor selepas tumpaskan Tampines Rovers

113

Selangor FC melakar kemenangan bergaya 4-2 ke atas Tampines Rovers FC dalam aksi Kumpulan A ASEAN Club Championship (Shopee Cup) di Stadium MBPJ malam tadi, sekali gus memberi suntikan semangat besar buat skuad Red Giants selepas melalui minggu yang mencabar.

Ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi menyifatkan kemenangan ini bukan sekadar tiga mata, tetapi lambang kekuatan mentaliti pemain yang kekal fokus walaupun berdepan jadual padat dan faktor keletihan.


“Saya sangat bangga dengan pemain-pemain saya. Mereka bergelut untuk pulih, tetapi tetap bekerja keras. Tiga mata ini sangat besar maknanya kerana ia membuktikan kami mempunyai semangat juang yang kuat dan tidak pernah mengalah,”

katanya.

Kinoshi turut mengulas mengenai penurunan tempo permainan selepas Selangor mendahului 2-0, beliau mengakui ia berpunca daripada kepenatan, namun tetap berpuas hati dengan cara pemain menguruskan permainan. 

“Kami sudah bincang bagaimana mahu bertahan apabila tempo menurun, bagaimana untuk lakukan serangan balas. Usaha itu akhirnya membawa hasil yang baik.”

Dalam pada itu, Kinoshi menegaskan bahawa kemenangan ini bukan pengakhiran, sebaliknya titik permulaan untuk membina momentum lebih kukuh. 

“Faktor utama kebangkitan adalah mindset pemain. Saya tidak boleh ubah sesiapa, tetapi pemain sendiri perlu ada mentaliti yang kuat. Selepas dua kekalahan, mereka buktikan kekuatan itu. Pengalaman sebegini akan menjadikan kami lebih kuat.”

Beliau juga mengingatkan pasukannya agar segera mengalihkan fokus kepada aksi seterusnya memandangkan jadual padat menanti, dengan tiga lagi perlawanan penting bakal berlangsung sehingga awal Oktober. 

“Kami boleh meraikan kemenangan ini sekejap, tetapi selepas itu mesti segera tukar mindset untuk perlawanan akan datang. Konsistensi adalah kunci.”